Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Malaysia di landasan terbaik untuk pulihkan ekonomi pasca Covid-19 -

Malaysia di landasan terbaik untuk pulihkan ekonomi pasca Covid-19

KOMITMEN kerajaan menerusi penilaian strategi mengatasi kemiskinan serta inisiatif pembasmian bersama membantu meringankan beban rakyat.

Berikutan situasi pandemik Covid-19 menjejaskan seluruh dunia termasuk kehilangan pekerjaan, penguncupan ekonomi, pelaburan terbantut dan sektor pelancongan merosot, pelbagai pakej ekonomi disediakan itu terbukti membantu rakyat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbelanjaan fiskal RM530 bilion menerusi pelbagai pakej ekonomi termasuk RM322.5 bilion untuk belanjawan tahun ini terbukti mengurangkan kesan berkenaan.

“Kita dapat mengurangkan kesan pandemik kepada masyarakat dan meringankan beban mereka melalui berbagai bentuk bantuan dan pertolongan, termasuk makanan untuk memastikan tidak ada rasa lapar atau kekurangan zat makanan dalam diet.

“Sebilangan besarnya, semua usaha ini membantu mengurangkan beban isi rumah miskin kita, terutama yang tinggal di kawasan bandar,” katanya ketika berucap dalam webinar Ke Arah Pemulihan Negara dan Fasa Seterusnya: Membasmi Kemiskinan Tegar Menjelang 2025.

Muhyiddin Yassin ketika berucap dalam webinar Ke Arah Pemulihan Negara dan Fasa Seterusnya: Membasmi Kemiskinan Tegar Menjelang 2025.

Program berkenaan dianjurkan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Beliau berkata, solidariti dan kebersamaan mampu membawa Malaysia mendepani pasca Covid-19 dengan jayanya.

Menurutnya, negara kini menuju pada peringkat akhir krisis kesihatan dan program vaksinasi Covid-19 menjadi salah satu kejayaan Malaysia di dalam tempoh sukar ini.

Katanya, menerusi program itu, Malaysia jauh ke depan dari jadual untuk pulih dalam ekonomi dengan vaksinasi dewasa sudah melebihi 90 peratus.

“Semua ini dan banyak lagi dirancang dan digariskan dengan teliti di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), strategi keluar empat fasa dari krisis Covid-19, yang saya lancarkan Jun lalu dan saya gembira mengatakan bahawa kita terus maju ke arah mencapai visi ini.

“Secara keseluruhan, terdapat banyak dimensi dan rancangan untuk membasmi kemiskinan.

“Bagaimanapun, kita tetap perlu menggerakkan lebih banyak bantuan bersama fokus baru untuk memastikan bantuan disalurkan sampai kepada golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, langkah dan rancangan perlindungan sosial perlu digabungkan melalui usaha pembaharuan ekonomi berskala besar yang akan menghidupkan semula ekonomi negara di semua sektor.

Katanya, menerusi pertumbuhan ekonomi lebih besar, kita dapat membawa masyarakat keluar daripada belenggu kemiskinan. – SB