[VIDEO] Trak jadi rumah 8 bilik, 1 balkoni

ARUS pemodenan yang semakin berkembang kini melahirkan pelbagai jenis idea reka bentuk rumah yang unik dan moden bagi mencapai citarasa tuan rumah.

Seperti yang kita tahu, kini terdapat juga rumah yang digabungkan bersama-sama dengan kenderaan seperti karavan atau rumah terapung seperti yang kita biasa lihat di Tasik Kenyir.

Namun, seorang lelaki dari Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia ini membina sendiri sebuah rumah yang mempunyai 8 ruang bilik di atas trak pengangkut barang miliknya.

Apa yang lebih menakjubkan, rumah yang dibina di atas trak oleh pemiliknya, Abinet Tadesse itu mempunyai dua ruang tamu, tiga bilik tidur dan tiga bilik air berserta satu balkoni besar.

Dalam satu temu bual bersama BBC News, lelaki ini berkata, dia mendapat inspirasi untuk membina rumah berkenaan kerana tabiatnya yang gemar makan dan meluangkan masa yang banyak di dalam kereta.

“Saya suka makan dan minum di dalam kereta,.Jadi tabiat itu memberikan saya inpirasi untuk membina rumah di atas trak ini. Sebelumnya, trak ini digunakan untuk mengangkut barang,” ujarnya.

Menurut Abinet Tadesse, membina rumah itu bukan satu proses yang mudah apabila projek pembinaan rumah di atas trak ini mengambil masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

Bagaimanapun, Abinet Tadesse meluahkan rasa gembira apabila rumah impiannya yang didirikan diatas empat roda itu boleh bergerak dan dibawa ke mana sahaja.

“Saya sangat gembira untuk mengimplimentasikan idea dan mengeluarkan wang untuk rumah ini. Tiada apa yang boleh buatkan saya lebih gembira daripada tinggal di dalam inovasi yang dibina oleh saya sendiri,” katanya.–SB