KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) hari ini menafikan telah menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seperti yang tular menerusi media sosial.
Iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
“Meskipun agensi Kemas bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut,” menurut KPN dalam kenyataan hari ini.
KPN memaklumkan iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
Menurut KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Oktober lalu bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.
Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.
Iklan itu turut menawarkan empat kekosongan jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N1.
Menurut KPN, dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.
“Iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat lepas dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial,” menurut kenyataan itu. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.