Oleh RAHIMI MOHAMAD
KERAJAAN Melaka sudah mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah terbubar, maka proses seterusnya adalah perjalanan menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN).
Meskipun pada waktu terdekat mengadakan PRN bukan alternatif yang baik untuk menyelesaikan kemelut politik tetapi UMNO Melaka sudah mengambil risiko itu berbanding melancarkan proses peralihan kuasa kepada pihak yang mungkin memiliki majoriti.
Namun, mereka mungkin lupa sepatutnya hari ini hari kelima gelembung pelancongan dikuatkuasakan di negeri bandaraya bersejarah itu, namun proses pemulihan ekonomi yang memang bergantung kepada pelancongan domestik itu terpaksa ditangguhkan.
Meskipun Pulau Langkawi dilihat berjaya dalam projek rintis membuka pintu kepada pelancong luar, namun kerajaan negeri Melaka memutuskan tiada aktiviti rentas negeri bagi sektor pelancongan ke negeri itu dibenarkan sehingga vaksin mencapai tahap 90 peratus.
Sudah tentu alasan itu berkait dengan risiko penularan wabak Covid-19 yang baru menunjukkan tanda-tanda pemulihan kerana sehingga petang semalam yang bersamaan tarikh ‘terbubarnya’ kerajaan Melaka, kes baharu positif di negeri itu masih mencatat tiga angka.
Maka timbul persoalan dalam kalangan rakyat, pengayuh beca yang kecewa dengan penangguhan itu dan pemain industri lain yang bertanya adakah PRN sesuai pula diadakan ketika ini.
Memetik kata-kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, ‘meskipun imunisasi kelompok sudah mencapai 90 peratus kelak, beberapa aspek antaranya prosedur operasi standard (SOP) masih perlu diteliti sebelum membenarkan kemasukan semula pelancong’.
“Ia bukan 1 Oktober. Ia sehingga vaksinasi sepenuhnya 90 peratus di seluruh negara. Baru ia akan dibenarkan, itu pun mengambil sedikit masa,” katanya sewaktu menggulung ucapan penangguhan persidangan DUN Melaka pada 23 September lalu.
Maka sudah jelas kerajaan Melaka tidak mahu mengambil risiko yang mungkin nanti akan menyebabkan negeri itu ditutup semula sekiranya ada pertambahan kes yang mendadak berpunca daripada aktiviti itu.
Jadi dalam hal ini, PRN juga dilihat kebanyakan pihak bukan penyelesaian yang tuntas walaupun Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam memberi perkenan pembubaran DUN di bawah Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri Melaka.
Bagaimanapun masih menjadi tanda tanya jika dalam masa dua ke tiga hari ini PH Melaka dan keempat-empat ADUN yang menarik sokongan itu berjaya mempersembah bukti memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan.
Itu juga sebahagian daripada proses demokrasi, apatah lagi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mengetuai gerakan itu mendakwa sekurang-kurangnya dua lagi ADUN akan bersama mereka.
Jika benar apa yang dikatakan ADUN Sungai Udang itu, jumlah pembahagian kerusi akan kembali kepada 17-11 sebelum krisis berlaku, cuma yang berbeza pihak berlainan pula mempunyai majoriti kali ini.
Maka jangan gopoh dalam membuat sebarang keputusan, jika dirasakan menyerah kuasa kepada pihak yang ada majoriti lebih sesuai, maka buatlah perkara sama seperti mana mereka mengembalikan kerajaan Melaka pada Mac tahun lalu selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Bukankah itu yang lebih memudahkan semua pihak walaupun kata-kata sinikal masyarakat ‘untung sekali undi dapat tiga kerajaan’ akan tetap diperkatakan sepanjang masa.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.