Ringgit jatuh kepada RM4.64 sedolar AS

0
152

RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan mata wang AS itu kekal kukuh susulan kenyataan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed), Jerome Powell yang menyokong kepada kadar faedah tinggi.

Powell menegaskan sokongannya kepada kadar ‘tinggi untuk tempoh lebih lama’ di Jackson Hole Symposium pada Jumaat lalu, yang terus menyokong dolar AS, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.6400/6430 berbanding dolar AS daripada 4.6385/6430 pada Jumaat lalu.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil berikutan Fed dijangka mengekalkan pendirian dasar monetarinya yang terhad.

Dalam perkembangan lain, katanya data Indeks Harga Pengguna (IHP) terkini bagi Malaysia, yang mencapai dua peratus pada Julai, menunjukkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang stabil pada tiga peratus untuk baki 2023.

“Sehubungan itu, permintaan terhadap dolar AS dijangka kekal positif dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi global yang meningkat, terutamanya di China, berikutan peserta pasaran akan mencari perlindungan dalam mata wang selamat.

“Ringgit dijangka berada antara RM4.63 dan RM4.65 berbanding dolar AS hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan merosot berbanding euro kepada 5.0126/0158 daripada 5.0054/0103 pada Jumaat lalu dan susut berbanding pound kepada 5.8441/8479 daripada 5.8385/8441, bagaimanapun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1670/1693 daripada 3.1757/1790 sebelum ini.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.4246/4273 daripada 3.4202/4238 pada Jumaat lalu dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.3/303.7 daripada 303.2/303.7 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan naik berbanding baht Thailand kepada 13.2081/2223 daripada 13.2121/2309 pada Jumaat lalu dan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.20/8.21.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here