Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan Selangor jangan pinggir kemajuan DUN pembangkang - Noh -

Kerajaan Selangor jangan pinggir kemajuan DUN pembangkang – Noh

KERAJAAN Selangor diingatkan agar tidak meminggirkan kemajuan di daerah Kuala Selangor meskipun kelima-lima Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari perlu mengetepikan soal politik dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Sebagai bekas pemimpin di Selangor ini, saya hendak melihat bahawa negeri ini dimajukan secara adil kepada semua rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Pengedaran Jalur Gemilang kepada penjaja di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor hari ini.

Justeru, Noh berkata, kerajaan Selangor mestilah memberi peruntukan sama rata kepada semua ADUN pembangkang bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

“Walaupun lima DUN dalam daerah Kuala Selangor dimenangi pembangkang, kita harap kerajaan negeri hendaklah berlaku adil kepada ADUN terbabit untuk bersama-sama kerajaan negeri membangunkan daerah ini,” katanya.

Katanya, sejarah pilihan raya di Kuala Selangor yang mempunyai dua Parlimen dan lima DUN itu mencipta sejarah luar biasa apabila enam daripada tujuh kerusi dimenangi pembangkang.

“Di daerah (Kuala Selangor) ini, PH (Pakatan Harapan) hanya memenangi satu kerusi Parlimen Kuala Selangor, manakala Parlimen Tanjong Karang dan semua lima DUN dimenangi oleh PN (Perikatan Nasional).

“Tidak pernah berlaku lagi Kuala Selangor ini dikuasai pembangkang yang dulunya kawasan ini pernah menjadi kubu kuat BN (Barisan Nasional), tetapi hari ini telah pun berubah apabila ia menjadi kubu kuat Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Parlimen Kuala Selangor dimenangi penyandangnya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad daripada PH dan Parlimen Tanjong Karang pula dimenangi PN menerusi Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi.

Lima DUN dimenangi PN iaitu di DUN Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd. Zainuldin dan DUN Permatang, Nurul Syazwani Noh.