Selangor umum senarai 11 EXCO, Amirudin pegang 5 portfolio utama

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bertanggungjawab mengendalikan lima portfolio dalam pentadbiran baharu kerajaan negeri pada penggal ini.

Portfolio berkenaan ialah Pembangunan Tanah dan Sumber Alam, Kewangan dan Tindakan Ekonomi, Pemodenan Pentadbiran dan Digitalisasi Kerajaan, Komunikasi Strategik dan Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital serta Pembiayaan Sains, Teknologi, Inonvasi (STI).

ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin pula bertanggngjawab bagi Kesihatan Awam, Alam Sekitar, Perubahan Iklim & Teknologi Hijau.

ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi diberi tugas Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan & Ekonomi Kreatif, Pengurusan Bencana.

ADUN Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail memegang portfolio Kemajuan Desa & Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi dan Perpaduan Nasional.

ADUN Banting, V Papparaidu pula adalah bagi tugas Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal & Minoriti, Pengerusi Bersama Jawatankuasa LIMAS.

ADUN Taman Templer, Anfaal Saari pula memegang portfolio Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Ekonomi Penjagaan.

Sementara itu, ADUN Kinrara, Ng Sze Han memegang portfolio Pelaburan & Perdagangan, Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu, Mobiliti Selangor, Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu,Sikh & Tao Negeri Selangor (LIMAS).

ADUN Pandan Indah, Izham Hashim memegang portfolio Kemajuan Infrastruktur dan Permodenan Pertanian & Perladangan.

ADUN Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah memegang portfolio Perumahan & Pembangunan Bandar Lestari dan Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu & Warisan.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim memegang portfolio Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan, Pembangunan Kampung Baru serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa LIMAS.

Pengumuman pengenalan barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor diumumkan oleh Amirudin dalam satu majlis di lobi Bangunan SUK, di sini hari ini.

Amiruddin dan barisan EXCO mengangkat sumah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin lalu lapor BH.