Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pemuda UMNO, MCA kecam logo DAP, PH pada replika cek sumbangan -

Pemuda UMNO, MCA kecam logo DAP, PH pada replika cek sumbangan

PEMUDA UMNO dan MCA mengecam tindakan DAP dan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo parti mereka pada replika cek peruntukan kerajaan kepada beberapa sekolah di Perak.

Isu itu timbul setelah pemimpin DAP Perak Nga Kor Ming, yang juga menteri pembangunan dan kerajaan tempatan, dirakam pada gambar penyerahan replika cek sumbangan yang tertera logo DAP dan PH di beberapa sekolah di negeri tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh menyelar penggunaan logo parti dan menuntut Kor Ming untuk memberi penjelasan mengenai sumber dana itu.

“Adakah sumbangan ini dari pihak kerajaan?

“Dan jika dari pihak kerajaan, apakah kaitan logo DAP berada di ‘mock up cheque’ sumbangan tersebut?

“Jangan jadi bodoh bila dah menjadi menteri,” tulis Akmal di Facebook.

Perkara sama turut dibangkitkan Timbalan Ketua Penerangan MCA Wong Siew Mun yang mendakwa Kor Ming mempolitikkan peruntukan kerajaan.

Menurutnya, parti politik boleh menyumbang secara berasingan kepada sekolah jika mereka mahu.

“Seseorang menteri itu merupakan wakil rakyat,” kata Wong sambil menambah mempamerkan logo parti adalah cubaan untuk menipu rakyat peruntukan itu datang daripada Nga atau DAP.

“Sekiranya wang tersebut disumbang oleh PH dan DAP, sudah tentu kita semua akan rasa lebih teruja, tetapi media telah melaporkan bahawa peruntukan tersebut adalah daripada kerajaan.

“Timbul persoalan, adakah tindakan Nga ini selari dengan reformasi politik yang diuar-uarkan PH?” soalnya, sambil menambah kerajaan harus menumpukan pada penyelesaian masalah ekonomi rakyat dan bukannya mencari publisiti murahan.