Mohd Amar yakin kepimpinan baru Kelantan mampu galas tanggungjawab

0
203

YAKIN bahawa barisan kepimpinan baru Kelantan bakal membawa negeri itu ke arah yang lebih cerah, bekas timbalan menteri besarnya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pelantikan baru itu seperti beban yang telah diringankan daripada bahunya.

Dalam satu hantaran di media sosialnya semalam, Mohd Amar menzahirkan keyakinannya terhadap barisan kepimpinan baru negeri itu, walaupun ia merupakan satu tanggungjawab yang berat.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi peluang kepada kawan-kawan saya yang baru menerajui negeri Kelantan. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melihat perubahan positif dan kemajuan yang akan dibawa.

“Saya percaya amanah yang telah diletakkan di bahu kawan-kawan adalah tanggungjawab yang berat, namun saya yakin kalian akan menjalankannya dengan penuh keikhlasan dan keadilan.

“Beban yang diringankan daripada bahu saya sekarang adalah penyerahan kepada kalian, dan saya gembira kerana percaya kalian akan membawa negeri ini ke arah yang lebih cerah,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Semalam, anggota dewan undangan negeri (Adun) Meranti Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengangkat sumpah sebagai menteri besar kesembilan Kelantan. Manakala Adun Temangan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan sebagai timbalan menteri besarnya.

Pada masa sama, sembilan adun lain turut dipilih sebagai exco baru. Mereka merupakan Md Anizam Ab Rahman (Kemahang); Dr Izani Husin (Kijang); Tuan Saripuddin Tuan Ismail (Selising); Wan Roslan Wan Hamad (Pengkalan Kubor); Rohani Ibrahim (Tanjong Mas); Mohd Asri Mat Daud (Demit); Zamakhshari Mohamad (Apam Putra); Hilmi Abdullah (Guchil) dan wakil Bersatu, Kamaruddin Md Noor (Ayer Lanas).

Pada 12 Ogos lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan menukar menteri besar dan timbalannya sekiranya PAS diberikan mandat mengekalkan pentadbirannya selepas PRN di negeri itu kerana parti tersebut mahukan semangat baru di Kelantan.

Tambahnya, pertukaran dua pemegang jawatan itu telah mendapat persetujuan bekas menteri besar Ahmad Yakob dan Mohd Amar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here