Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lebih banyak rampasan aset berkaitan kes 1MDB - KPN -

Lebih banyak rampasan aset berkaitan kes 1MDB – KPN

 LEBIH banyak aset melibatkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dirampas dalam masa terdekat susulan keterangan yang diberikan bekas peguam syarikat berkenaan, Jasmine Loo Ai Swan, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata, aset-aset yang dirampas itu kemudian akan dilucutkan hak untuk dikembalikan kepada kerajaan melalui proses mahkamah.

“Jasmine Loo yang masih lagi berada di dalam tahanan polis telah memberikan kerjasama yang baik semasa siasatan.

“Beliau masih lagi ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan siasatan kini dijalankan terutamanya membabitkan pengubahan wang haram,” katanya selepas melancarkan Madani Ride PDRM dan Ipoh Super Bike Club (ISBC) sempena Hari Polis ke-216 dan Bulan Kemerdekaan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur pada Rabu.

Ditanya adakah Jasmine akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat, Razarudin berkata, pihaknya akan berbuat demikian selepas siasatan selesai.

Pada 12 Julai lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis telah menahan Jasmine pada 7 Julai bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan.

Jasmine merupakan bekas Pengarah Eksekutif Strategi Kumpulan 1MDB, dipercayai merupakan individu yang mempunyai maklumat berkenaan 1MDB dan didakwa termasuk dalam lingkaran dekat Jho Low.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang dan Loo, berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Sebelum itu, sekumpulan 150 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada PDRM dan ISBC terlibat dalam konvoi selama enam hari ke seluruh semenanjung, termasuk selatan Thailand.

BERNAMA