Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sanusi angkat sumpah MB Kedah ke-15 -

Sanusi angkat sumpah MB Kedah ke-15

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Kedah ke-15 pagi ini.

Istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah itu berlangsung di Istana Anak Bukit di Alor Setar, lapor Astro AWANI.

Muhammad Sanusi melafazkan sumpah menyandang jawatan berkenaan sekitar jam 10.17 pagi di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pelantikan itu dibuat berlandaskan peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu menerima sokongan majoriti daripada ADUN-ADUN di negeri itu.

Terdahulu, pelantikan Muhammad Sanusi dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali, sekali gus menjawab teka-teki siapakah yang bakal memegang jawatan itu penggal ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Jeneri dengan majoriti undi 16,050, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

PN Kedah kini kekal mentadbir di negeri itu selepas memenangi 33 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Angka itu juga menjadikan PN mempunyai kedudukan yang kukuh bagi membentuk kerajaan negeri.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi merupakan penyandang jawatan itu selepas dilantik pada 17 Mei 2020, susulan mendapat sokongan majoriti ADUN ketika itu.

Dilahirkan pada 4 Ogos 1974, Muhammad Sanusi pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak antara 2008 dan 2013.

Beliau mula menjadi calon dalam pilihan raya sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) di kerusi DUN Belantek, namun tewas kepada calon BN Datuk Mohd Tajudin Abdullah dengan majoriti 252 undi.

Pada PRU14, beliau bertanding di DUN Jeneri dan berjaya menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PKR) dengan majoriti 2,455 undi.

Muhammad Sanusi yang berkelulusan ijazah dari Universiti Sains Malaysia mendirikan rumah tangga bersama Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan dikurniakan lima anak.