Ini bukan maruah UMNO yang kita kenal, kata Pemuda PN

0
127

KEPUTUSAN pilihan raya di enam negeri baru-baru ini adalah ‘manifestasi daripada rakyat’ supaya pemimpin UMNO memahami keutamaan menjaga kepentingan orang Melayu berbanding kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, UMNO wajar bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan Islam dan Melayu.

“Sepatutnya kita bersama-sama dalam muafakat ummah yang digagaskan dan kembali kepada nilai perjuangan terkait Islam serta Melayu, bukannya apabila kita terhimpit dan dihina, kita bertegas pula dengan menyatakan tak boleh bercakap soal agama, raja dan kaum (3R),” katanya dipetik lapor Utusan Malaysia hari ini.

Beliau juga melihat apa yang berlaku sekarang ini sesuatu yang baru buat UMNO.

“Itu bukan maruah UMNO yang kita kenal,” katanya lagi.

Bekas jurugambar di sebuah portal berita yang memenangi kerusi Kota Siputeh itu juga berkata, beliau lebih selesa disapa dengan nama panggilannya, Acap, berbanding YB.

Katanya sebagai wakil rakyat di situ beliau mahu membawa budaya baru, iaitu hubungan yang lebih erat dengan penduduk setempat membabitkan sebarang isu termasuk yang paling kecil.

“Orang luar nak panggil ‘YB’ tak apa tetapi bukan orang Kota Siputeh.

“Saya di sini untuk berkhidmat buat rakyat, merendah diri dan menjadi ‘hamba’ kepada mereka.

“Jadi tolonglah jangan panggil ‘YB’, cukup sekadar Ashraf atau Acap dan kalau orang yang berusia, panggil saya ‘anak’ pun dah mencukupi,” katanya.

Kelmarin, Ashraf meraih 17,180 undi untuk menewaskan penyandang kerusi tersebut, Dr. Salmee Said, dari PH, selain calon Bebas, Abdul Ramli.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here