PRN: Kemenangan besar PN bukti rakyat yakin, mahu perubahan – Hamzah

0
140

KEMENANGAN besar Perikatan Nasional (PN) di Terengganu, Kedah dan Kelantan pada pilihan raya di enam negeri membuktikan rakyat kukuh dan yakin kepada gabungan parti tersebut.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pada masa yang sama, peningkatan besar undian kepada PN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan memberikan gambaran bahawa rakyat mahukan perubahan.

Katanya, rakyat mahukan kerajaan yang lebih responsif kepada isu-isu yang mereka hadapi.

“Oleh itu, PN akan terus berjuang bersama-sama rakyat untuk menjayakan Malaysia yang lebih baik, telus dan adil kepada semua pihak tanpa batas warna kulit, bangsa serta agama.

“Kami juga akan memastikan parti ini menjadi payung yang peka dan cakna kepada setiap denyut nadi dan keluh kesah rakyat,”ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sabtu lalu, PN telah memenangi sebanyak 60 peratus atau 146 kerusi daripada keseluruhan 245 kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Kejayaan PN mempertahankan negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN.

Parti itu juga telah membuat ‘major inroads’ (penembusan) di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini.

Tambah Hamzah, setiap permasalahan rakyat merupakan perjuangan PN dan berterima kasih kepada pengundi yang telah memilih calon-calon PN pada Sabtu.

“Kini, referendum rakyat telah diterjemahkan dengan sebaiknya di kertas undi,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here