Tiada rasa gemuruh petanda nak menang – Sanusi

Oleh BADLISHAH MAT

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yakin Perikatan Nasional (PN) tidak berdepan laluan sukar untuk menang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri terutama di Kedah.

Menteri Besar Kedah yang juga calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri berkata, perasaannya juga tenang ketika ini dan langsung tidak berasa gusar.

“Saya tidak rasa gemuruh atau gementar, biasanya kalau tak ada perasaan seperti ini tanda-tanda hendak menang.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Kedah yang keluar mengundi, ikutlah pilihan masing-masing kerana itu hak kita cuma sebagai calon yang bertanding saya harap parti saya menang,” katanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan Pas itu berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Beris Jaya, Jeniang di Sik.

Beliau yang juga penyandang kerusi itu hadir mengundi bersama isteri, Toh Puan Jusmalailani Jusoh pada pukul 11 pagi.

Muhammad Sanusi yang mengundi di saluran dua dilihat selesai mengundi kira-kira 20 minit kemudian dan berkesempatan beramah mesra dengan pengundi lain di pusat mengundi berkenaan.

Beliau akan mempertahankan kerusi DUN Jeneri dalam pertembungan dua penjuru dengan calon muka baharu Barisan Nasional (BN), Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Muhammad Sanusi menang kerusi tersebut dengan majoriti sebanyak 2,455 undi menewaskan pesaingnya, Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd. Nazri Abu Hassan (Pakatan Harapan). – SB