Naratif ‘sakau’ oleh Anwar tak laku ketika PRN

0
127

Oleh BADLISHAH MAT

UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak pernah ketinggalan menyebut perbuatan ‘merompak wang rakyat’ atau istilah ‘sakau’ yang sering digunakannya tidak laku sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) yang sedang berlangsung.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, kenyataan Anwar pada setiap program politik atau kerajaan itu ibarat meludah ke langit kerana beliau sendiri terbukti tidak melakukan perkara sepatutnya berkaitan soal integriti.

Beliau yang juga calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas berkata, Anwar sebagai ketua kerajaan sepatutnya mempunyai bukti yang amat kukuh sebelum membuat sesuatu kenyataan terutama kepada lawan politiknya.

“Kita tak terkejut dengan watak Anwar walaupun jadi Perdana Menteri kerana semasa jadi pembangkang acap kali keluarkan tuduhan kepada mana-mana pihak termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad tanpa sertakan sebarang bukti.

“Naratif dimainkan oleh beliau seperti meludah muka sendiri, nak kata kita sakau kena buktikan. Kalau nak letak penanda aras kata pemimpin PN didakwa atas tuduhan rasuah, Tan Sri Muhyiddin Yassin tak ada satu sen masuk dalam akaun. Datuk Wan Saiful Wan Jan sampai hari ini pendakwaan gagal bagi tarikh.

“Beliau minat sangat cakap dan mungkin dia lupa dia Perdana Menteri. Bila mahkamah dah tentukan perjalanan kes kena hormat lah, tak boleh nak ulas lagi, nak main naratif PN sakau tapi yang sebelah kanan kamu bukan sakau tapi bapak kepada sakau,” katanya ketika ditemui di Padang Serai, semalam.

Khairul Anuar berkata, jika Perdana Menteri mahu membuktikan kerajaan pimpinannya bersih, pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri yang sedang berdepan kes mahkamah tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO juga masih memiliki pemimpin lain yang layak berada di kedudukan itu termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mengulas kenyataan Anwar mengakui beliau bukan anti Kedah, Khairul Anuar berkata, perkara itu sama sekali tidak tepat dan jelas menyerlahkan ketidakmatangan beliau berpolitik serta mentadbir kerajaan.

Katanya, contoh paling mudah boleh dilihat dalam isu surat menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang diakui Anwar sengaja tidak dijawabnya.

“Dia tak boleh bezakan di mana politik dan di mana pentadbiran. Sanusi hantar surat untuk bertemu atas kapasiti ketua kerajaan negeri dengan Persekutuan, bukan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah kepada Perdana Menteri.

“Sepatutnya ada perbezaan dua perkara itu, soal Kedah dan rakyat siapa pun jadi Perdana Menteri dia kena jalankan kewajipan dengan adil. Kita sebelum ini tak tolong rakyat berdasarkan warna parti kerana bila dilantik buat kerja kepada semua

“Anwar pun patutnya begitu laksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, beza di pentas politik. Nak berlawan itu bab lain tapi soal rakyat kena duduk berbincang. Apabila dia akui sengaja tak jawab dia mengakui mempunyai hati yang tak baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here