Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Empat 4 ahli DAP dipecat bertanding lawan calon parti -

Empat 4 ahli DAP dipecat bertanding lawan calon parti

DAP memecat empat anggotanya yang bertanding melawan calon daripada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ngeh Koo Ham berkata, mereka termasuk tiga anggota yang telah mengumumkan keluar parti selepas mereka tidak termasuk dalam senarai calon DAP.

“Jawatankuasa disiplin memang memegang pendirian mana-mana anggota yang menjadi calon menentang calon yang diputuskan parti dalam mana-mana pilihan raya (DUN atau Parlimen) akan dipecat secara automatik,” kata Ngeh dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang dipecat adalah Satees Muniandy, P. David Marshel, Chng Boon Lai dan B. Gunalan.

Satees adalah penyandang DUN Bagan Dalam dan keluar DAP pada 28 Julai lalu. Beliau juga berkata akan bertanding sebagai calon Bebas dan akan bertembung dengan calon DAP, Kumaran Krishan.

Marshel pula adalah bekas ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai. Beliau juga keluar DAP pada 28 Julai lalu dan berkata akan bertanding sebagai calon bebas di Perai, kerusi DUN yang disandang P. Ramasamy yang digugurkan dalam PRN ini.

Chng pula keluar parti sehari lebih awal, iaitu pada 27 Julai, dan akan bertanding sebagai calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) di DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor.

Sementara itu, Gunalan bertanding sebagai calon PN di DUN Pandamaran, juga di Selangor.

Ngeh turut memberi amaran kepada anggota DAP agar tidak membantu mereka dalam kempen PRN dan akan dikenakan tindakan disiplin jika mengingkarinya.

“Anggota parti turut diingatkan tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang bertindak bertentangan dengan kepentingan parti,” katanya, lapor FMT.