Saya tak lari dari kawasan, Anwar yang suka ‘lompat’, kata Azmin

BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang seperti didakwa musuh politik.

Sebaliknya calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi itu mendakwa perbuatan melompat kawasan gemar dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya konsisten kekal bertanding di kawasan kelahirannya sejak 1999, berbanding Anwar yang lari daripada Permatang Pauh, kemudian ke Port Dickson dan Tambun pada PRU lepas.

“Hulu Kelang merupakan ‘political base’ saya, saya diberi mandat dalam politik ini seawal 1999 di Hulu Kelang dan ketika saya dipilih menjadi Ahli Parlimen Gombak, Hulu Kelang adalah dalam Parlimen Gombak, jadi tak timbul soal lari seperti didakwa musuh politik saya.

“Yang lari daripada ‘political based’ adalah orang seperti (Anwar) dari Permatang Pauh, lari ke Port Dickson lari ke Tambun…itu lari,” katanya kepada media selepas penamaan calon DUN Hulu Kelang.

Azmin, berpindah dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang berdepan Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Juwairiya Zulkifli yang juga dipindahkan dari DUN Bukit Melawati.

DUN Hulu Kelang merupakan kerusi majoriti Melayu yang dimenangi dan dipertahankan aktivitis reformasi dan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah), Saari Sungib, selama tiga penggal berturut-turut.

Beliau yang memenangi DUN Hulu Kelang atas tiket PKR mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu pada PRN ini kerana masalah kesihatan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Azmin gagal mempertahankan Parlimen Gombak yang disandang selama tiga penggal, di tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas keyakinan menawan semula DUN Hulu Kelang selepas kekalahan besar pada PRU15, Azmin berkata beliau enggan menoleh ke belakang sebaliknya mahu bangkit memperbaiki rekod lampau.

“Saya reda atas kekalahan lalu, kita telah lakukan muhasabah mungkin ada kelemahan yang harus diperbaiki,” katanya, lapor FMT.