Lelaki parah selepas lehernya dikelar penagih

SEORANG lelaki berusia 30-an parah selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh penagih dadah di Rantau Panjang, Pasir Mas kelmarin.

Ketua polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner, Kama Azural Mohamed berkata, mangsa sempat menaiki motosikal ke tempat kerja ibunya dalam keadaan berlumuran darah untuk mendapatkan bantuan dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu.

“Ibu mangsa membawanya ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu akibat pendarahan serius.

“Luka kelar di bahagian leher itu turut terkena bahagian saluran pernafasan mangsa. Mangsa kini ditidurkan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek telah ditangkap di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang malam kelmarin dan direman selama tujuh hari bermula 27 Julai hingga 2 Ogos ini.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah, didapati positif dadah jenis Methamphetamine ketika ditahan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya, memetik laporan Astro Awani.