Zeti tidak tahu tentang pembukaan akaun Najib untuk derma Arab

0
139

BEKAS gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberi keterangan bahawa bank pusat itu tidak mengetahui bahawa wang daripada 1MDB disalurkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-46 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dirinya selaku gabenor BNM telah menulis surat kepada Najib antara 2014 dan 2015 untuk membangkitkan kebimbangannya terhadap tahap hutang firma pelaburan negara itu yang semakin tinggi dan cabaran pembayaran balik yang membawa kepada penstrukturan semula pinjaman daripada bank tempatan.

“Perlu dinyatakan bahawa apabila surat yang disebut itu dikeluarkan oleh BNM kepada Najib, dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, BNM tidak mengetahui hakikat bahawa dana yang dimaksudkan untuk pelaburan oleh 1MDB telah dihantar ke akaun yang tidak berkaitan dengan pengisytiharan pelaburan 1MDB.

“Malah, pada masa itu, BNM tidak mempunyai pengetahuan bahawa dana dalam akaun Najib adalah daripada 1MDB,” kata Zeti, 74, semasa memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion membabitkan Najib.

Beliau berkata, BNM mendapati bahawa AS$700 juta daripada dana AS$1 bilion yang bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan Petrosaudi International Limited sebaliknya telah dialihkan ke dalam akaun Good Star Limited yang diperbadankan di Seychelles, sebuah entiti milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Zeti berkata, BNM menerima maklumat daripada pihak berkuasa asing yang turut memantau aliran kewangan monetari antarabangsa masuk dan keluar dari Malaysia.

Beliau mengulangi penafiannya sebelum ini terhadap dakwaan Najib yang dibuat semasa temu bual dengan Malaysiakini pada 2018 bahawa beliau mengetahui tentang aliran masuk RM2.6 bilion ke dalam akaunnya di AmBank dan bahawa beliau tidak membangkitkan sebarang soalan mengenainya.

Ulangnya, pada 2018, Najib memintanya untuk memaklumkan kepada umum bahawa Perdana Menteri tidak melakukan kesalahan daripada segi transaksi kewangan.

“Semua pemegang akaun dalam sistem kewangan kami dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan perbankan dalam perundangan kami.

“Tiada sesiapa boleh mempunyai akses kepada mana-mana akaun melainkan institusi kewangan terbabit mengesan aktiviti mencurigakan dalam akaun itu dan melaporkannya kepada bank pusat,” katanya.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, Zeti menafikan pernah dimaklumkan bahawa Najib bercadang untuk membuka akaun bank pada awal 2011 untuk menerima derma Arab AS$100 juta.

Keterangannya bercanggah dengan keterangan oleh saksi pendakwaan ke-39, sebelum ini, iaitu pengarah urusan AmBank ketika itu Cheah Teck Kuang.

Cheah dalam keterangan, mememaklumkan bahawa beliau berjumpa dengan Zeti semasa kunjungan hormat pada 28 Januari 2011 dan memberitahunya tentang tujuan Najib untuk membuka akaun.

Membaca daripada kenyataan saksi bertulis setebal 17 muka surat, Zeti berkata, dalam pertemuan itu, beliau memberitahu Cheah bahawa pada masa hadapan untuk merujuk semua perkara tersebut kepada Timbalan Gabenor Bank Negara ketika itu.

Timbalan Gabenor dipertanggungjawabkan untuk memantau kewangan dan penyeliaan sistem kewangan di Malaysia.

“Tiada apa-apa lagi yang dibincangkan dan perjumpaan adalah singkat.

“Sepanjang perjumpaan ini, Cheah Teck Kuang tidak pernah menyebut tentang sebarang derma yang akan dimasukkan ke dalam akaun ini,” kata Zeti.

Akaun berkod AmPrivate Banking-MR itu, kemudian dikaitkan dengan dakwaan derma daripada kerabat diraja Arab Saudi berjumlah AS$681 juta pada 2013.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here