Peguam negara ‘tak endah’ cadangan BNM dakwa pegawai 1MDB, Zeti beritahu mahkamah

0
120

BEKAS Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu bank pusat itu telah menggesa Peguam Negara mendakwa pegawai 1MDB, namun tiada tindakan diambil.

Beliau ketika memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB Datuk Seri Najib Razak berkata, pada mulanya BNM tidak mengetahui pergerakan dana kepada entiti tidak berkait 1MDB, tetapi susulan maklumat diterima, BNM menyiasat dan menghantar kertas siasatan kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Apandi Ali.

Zeti berkata, BNM mencadangkan kepada Peguam Negara mengenakan tuduhan terhadap pegawai kanan 1MDB mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang kerana mengemukakan maklumat palsu kepada bank pusat dalam permohonan kebenaran membuat pembayaran di luar negara.

“Walaupun bukti terlalu banyak dikumpul dan direkod BNM dalam kertas siasatan, Jabatan Peguam Negara ketika itu, tanpa sebab diketahui, pada 11 September 2015 berkata kertas siasatan diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).”

Zeti berkata, beliau telah merayu kepada Jabatan Peguam Negara mempertimbangkan status NFA, namun tidak mendapat maklum balas.

Beliau memaklumkan mahkamah bahawa bank pusat tidak mengetahui dana daripada 1MDB dipindahkan ke akaun entiti tidak berkaitan dengan syarikat itu.

Katanya, BNM juga pada mulanya langsung tidak mengetahui berhubung dana dalam akaun Najib berasal dari 1MDB.

Zeti menambah, BNM ada menerima maklumat pada 13 Mac 2015 memaklumkan terdapat sejumlah besar dana 1MDB dipindahkan ke akaun firma (Good Star Ltd), dimiliki ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

“Berdasarkan maklumat diterima, saya bertemu dengan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar di pejabat saya pada 20 Mac tahun sama dan mendedahkan maklumat tersebut kepadanya,” katanya, lapor FMT.

Zeti juga memberitahu pegawai penyiasat BNM melakukan pemeriksaan di AmBank dan Deutsche Bank Malaysia Bhd bagi menentusahkan sama ada sejumlah USD700 juta daripada USD1 bilion 1MDB dipindahkan kepada Good Star.

Pada 2009, 1MDB menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International, atau PSI, di bawah terma kontrak mengkehendaki 1MDB perlu membelanjakan USD1 bilion bagi tujuan itu.

Dana USD1 bilion sepatutnya didepositkan dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, bagaimanapun hanya US$300 juta dipindahkan dalam akaun berkenaan.

Zeti berkata, BNM telah memberikan kelulusan kepada 1MDB memindahkan USD1 bilion bagi tujuan usaha sama itu.

“Kelulusan diberikan BNM hanya semata-mata melibatkan pindahan dana kepada PetroSaudi bagi pembelian 40% pegangan,” katanya.

Bagaimanapun, Zeti berkata, pemeriksaan pegawai BNM di AmBank dan Deutsche Bank mendapati USD700 juta telah dipindah kepada Good Star.

Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here