Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
84 GRO warga asing ditahan -

84 GRO warga asing ditahan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 84 wanita warga asing yang berkhidmat sebagai pelayan pelanggan atau GRO di sebuah pusat hiburan tidak berlesen di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Ahad lepas.

Kesemua wanita yang ditahan dalam serbuan oleh Unit Pencegahan Maksiat, Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada 1.10 pagi itu berumur lingkungan 18 hingga 46 tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata turut ditahan sembilan individu terdiri daripada pengurus premis, penjaga kaunter dan pekerja lain yang berusia lingkungan 31 hingga 45 tahun.

Beliau berkata polis juga melakukan pemeriksaan terhadap 22 GRO warga tempatan, 46 pekerja serta 336 pelanggan dan daripada jumlah itu enam pelanggan disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

“Pada serbuan itu, polis turut merampas antaranya resit jualan, resit pekerja GRO, minuman keras, satu unit telefon bimbit, dua unit perakam video, dua unit mikrofon dan wang tunai RM14,862,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata kesemua yang ditahan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pusat hiburan berkenaan berkonsepkan pusat karaoke atau KTV yang menyediakan sebanyak 17 bilik karaoke mengikut pakej bayaran bermula RM3,800 hingga RM25,000 serta menyediakan GRO warga asing dan tempatan atas permintaan.

“Premis yang beroperasi pada 8 malam sehingga 6 pagi setiap hari itu didapati menyalahgunakan lesen restoran yang dikeluarkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya

Razarudin berkata tindakan tegas akan diambil jika masih terdapat pengusaha pusat hiburan yang menjalankan aktiviti terlarang seperti menggajikan GRO warga asing, persundalan dan penjualan/penggunaan dadah dalam premis itu.

Beliau berkata PDRM akan melakukan pemantauan ke atas pusat-pusat hiburan bagi mengelakkan sebarang kegiatan terlarang selain memastikan ketenteraman awam. – Bernama