Pemuda PAS gesa tindakan tegas dikenakan terhadap The 1975

PEMUDA PAS menggesa pembaharuan dilakukan dalam garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), yang ternyata penuh kelompongan dan gagal mengekang perilaku artis yang membuat persembahan di Malaysia.

Ia susulan tindakan jelik dan kurang sopan dilakukan vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy ketika melakukan persembahan di Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi, berkata Ini bukan kali pertama artis-artis yang pro-LGBT berjaya masuk dan mengadakan konsert di sini, malah mempromosi budaya songsang mereka di sini.

Tindakan mereka bukan sekadar tidak sensitif, malah secara terang-terangan menghina kerukunan negara berasaskan kesopanan dan kesusilaan serta kesucian Islam sebagai agama Persekutuan.

“Dewan Pemuda PAS mengecam keras kebiadapan The 1975, yang secara terang-terangan mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia.

“Perlakuan mereka bukan saja menjijikkan, malah memprovokasi dan mempertikai undang-undang negara secara jelas juga suatu tindakan kurang ajar dan menghina seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

Justeru, katanya sayap PAS itu menggesa tindakan keras dan tegas diambil ke atas kumpulan The 1975, atas perlakuan terkutuk ini.

“Pada masa sama, timbul persoalan mengapa kumpulan kontroversi ini boleh dibenarkan masuk dan mengadakan konsert dalam negara. The 1975 bukan artis baru, malah amat terkenal dengan sikap biadap dalam setiap konsert mereka di mana-mana negara.

“Adakah pihak PUSPAL tidak melakukan carian latar belakang terlebih dahulu sebelum membenarkan kumpulan kontroversi ini masuk? Apa tujuan penganjur membawa masuk band ini, di sebalik rekod mereka yang tidak baik?” katanya.

Sehubungan itu, tindakan segera mesti dilaksanakan oleh kerajaan, terutama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bagi mengekang perkara ini daripada terus berlaku.

“Ini bukan soal bantahan konsert semata, tetapi ini adalah soal menyelamatkan generasi kita daripada dirosakkan artis-artis berfahaman songsang ini. Selamatkan generasi kita daripada hedonisme dan fahaman songsang yang merosakkan akhlak,” katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan memanggil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 petang ini, susulan tindakan vokalisnya, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert berkenaan.

Terdahulu, Fahmi dalam ciapan di Twitter menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.

Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah, Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di pentas.