Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim -

Tindakan ke atas Sanusi hanya tambah sokongan kepada PN,Pas -Hashim

TINDAKAN  Kerajaan Madani terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak melemahkan perjuangan Pas dan Perikatan Nasional (PN). 

Malah Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung menambah sokongan rakyat terhadap PN dan Pas.

Katanya, tindakan secara tergesa-gesa terhadap Menteri Besar Kedah dengan terus mendakwa ketika siasatan masih dilakukan dipertikaikan rakyat.

“Apa yang berlaku itu seperti tindakan terlalu tergesa-gesa khususnya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin menjelang tiba. Apa pun kita hormati proses perundangan dan ahli Pas diminta supaya terus bertenang dan mengelak melakukan sebarang provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Sokongan padu rakyat akan diterjemahkan pada PRN 12 Ogos hadapan termasuk peluang terbuka luas bagi menguasai Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya lapor HarakahDaily.

Awal pagi Selasa lepas Sanusi ditahan sekumpulan pegawai dan anggota polis ketika menginap di sebuah hotel di Kuala Lumpur dan terus didakwa di mahkamah di Selayang atas dakwaan menghasut.

Kata Hashim kejadian itu dianggap sebagai permainan politik kerajaan bagi membunuh karakter Menteri Besar Kedah terutamanya ketika hampir menjelang PRN.

“Adakah tidak ada masa yang lebih sesuai dikenakan pendakwaan tersebut atau tunggu selepas habis PRN,” katanya.

 Hashim bagaimanapun berharap ahli dan penyokong Pas supaya memohon doa kepada Allah SWT agar memberi pertolongan kepada Sanusi.

Media sebelum ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor yang dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dikatakan menghina Sultan Selangor apabila membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Hashim berkata, sokongan terhadap Sanusi dan PN akan bertambah kuat meskipun berdepan situasi berkenaan.

“Sokongan kuat itu akan diterjemahkan di dalam PRN termasuk kita mampu merampas Selangor dalam pilihan raya tersebut,” katanya.

SEMENTARA ITU, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan ke atas Sanusi membina gelombang sokongan kepada gabungan berkenaan.

“Tinjauan umum mendapati sokongan kepada PN meningkat,” katanya kepada Berita Harian.

Tuan Ibrahim turut mendakwa, keadaan sebaliknya pula dialami PH dan BN.

“Walaupun mereka cuba menafikan tindakan ini bukan bermotif politik, semua pihak sedar ia memang tindakan politik, pendakwaan terpilih dan pelanggaran janji mereka mementang Akta Hasutan sebelum ini. Tindakan ini ternyata memakan diri apabila muncul pelbagai pihak membuat kenyataan membantah dan mempertikai tindakan ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi selepas mereka meneliti ucapan beliau yang langsung tidak menyebut Sultan Selangor,” katanya.