Sanusi nafi ‘reject call’ IGP, dedah ada berkomunikasi dengan pegawai Bukit Aman

Oleh BADLISHAH MAT

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan beliau tidak memberi kerjasama baik termasuk menolak (reject) panggilan telefon untuk dimaklumkan tentang pertuduhan yang dikenakan terhadapnya seperti dinyatakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Menteri Besar Kedah itu berkata, beliau menerima panggilan dan kiriman mesej daripada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sejak pukul 10 malam kelmarin yang memaklumkan mereka mahu mengambil keterangan daripadanya.

Tegas beliau, sejak awal-awal lagi beliau menyatakan kepada pegawai berkenaan bahawa akan memberi kerjasama untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang walaupun tidak menerima notis dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

“Depa memang nak pekena saya, sengaja cari salah yang tak ada tapi sedang direka buat tangkapan jam 3 pagi supaya menggambarkan dia ni (Sanusi) jahat pukul 3 kena tangkap. Saya nak betulkan PC (sidang akhbar) oleh Tan Sri IGP dengan penuh kehormatan saya kepada beliau yang PC dia semalam tak betul.

“Saya ada ‘communication’ dengan pegawai Bukit Aman dari pukul 10 malam sampai 2 pagi. Ada WhatsApp pasal saya tak mahu ada tangkapan sebab saya tahu komplot ini nak tangkap ja dulu kerana tangkapan itu bagi satu naratif bahawa telah berlaku satu kesalahan. Kalau ditangkap depan orang ramai lagi syok.

“Jadi saya elak untuk ditangkap, saya kata boleh beri kerjasama untuk hadir ke mahkamah. ‘Notis’ ke mahkamah itu saya dapat daripada Berita Harian Online, saya tak ada (terima) notis apa. Depa register kes secara ‘online’ jam 5 petang lebih. Dah lepas ‘office hour’, nampak tak komplot tu? Jaranglah orang lepas ‘office hour’ pi duk fail kes. Dia rajin, lepas tu tak dak notis apa,” katanya.

Razarudin berkata, tindakan menahan Muhammad Sanusi pada pukul 3 pagi dibuat selepas beliau dan pegawai khasnya tidak dapat dihubungi bagi memaklumkan mengenai dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Selayang.

Tambah Muhammad Sanusi, kesemua tangkap layar mengenai perbualan bersama pegawai polis berkenaan telah dihantar kepada seorang lagi pegawai atasan Bukit Aman.

Namun, selepas menyedari tiada pembetulan atau sebarang perubahan mengenai kenyataan KPN dibuat sehingga hari ini, beliau menyatakan perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Benda itu dia ‘call’ memang ada ‘call’. ‘Call’ pegawai saya apa semua. Saya ‘meeting’. Tiga ‘meeting’ hari itu. Jadi tengah ‘meeting’ itu ‘call’ masuk saya tanya siapa, dia bagitahu Bukit Aman. Saya ada semua ‘print screen’. Jangan main-main dengan saya.

“Dakwaan IGP bahawa saya menolak ‘call’, ‘reject call’, tak mahu bekerjasama tidak benar. Semua WhatsApp, ‘print screen WhatsApp’ itu saya hantar kepada pegawai kanan polis untuk dia maklumkan kepada IGP kelmarin (semalam). Tapi nampak macam tak ada pembetulan. Hari ni saya habaq lah,” katanya.

Terdahulu sebelum ditangkap, Muhammad Sanusi turut menjelaskan beliau memang mahu memberi kerjasama 100 peratus untuk berada di Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi yang tidak memerlukan tangkapan terhadapnya dilakukan.

“Saya nak lari mana? Saya kan Menteri Besar. Dia tetap nak suruh saya hadir. Saya kata tak apalah saya dah habis saya nak tidur, saya nak rehat. (Tiba-tiba) pukul 2.30 pagi dia ketuk pintu. Pukul 3 ambillah (dibawa ke balai).

“Saya WhatsApp kepada pegawai kanan polis. Saya tak sebut namalah. Datuk Seri tolong jangan buat tangkapan malam ini kerana esok saya akan hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang. Apa-apa proses siasatan lanjut boleh buat selepas itu,” katanya.

Tambah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu, beliau sama sekali memahami tugas yang perlu dilaksanakan pegawai dan anggota polis berdasarkan arahan diterima mereka dan menghargai tahap profesionalisme yang dipamerkan ketika proses itu berlaku.

“Bahasa mereka sopan, saya tidak dikasari dan diberi peluang untuk mandi, gosok gigi serta minum, depa tunggu. Cuma mai ramai sangat, menakutkan orang di hotel itu. Tapi dah 3 pagi taklah ramai orang sangat. Jadi saya takut diserbu macam itu kalau ada orang tentulah saya (diingat) penjenayah.

“Saya kata jangan gari (sebab) kalau gari ini (nampak) penjenayah sangat. Dia tak garilah, yang saya pi di Balai Polis Gombak tak dimasuk lokaplah. Dia letak dalam bilik mesyuarat dan saya diambil keterangan satu kes lain empat soalan saja (iaitu) adakah saya pernah mengeluarkan kenyataan dalam program Keluar Sekejap bahawa non Muslim lebih ramai mengamalkan rasuah daripada orang Muslim. Saya jawab ya (perkara itu) berdasarkan fakta dan statistik,” katanya. – SB