Kamarul Rizal Jenal

Polis tumpaskan sindiket judi online sasar pelanggan dari Nepal

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SATU sindiket judi ‘online’ yang menyasarkan pelanggan dari Nepal berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang dalam tiga serbuan berasingan di sekitar George Town, Pulau Pinang semalam.

Dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Barat Daya dan Timur Laut itu, lima suspek lelaki termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 41 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Suprintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan pertama dilakukan pukul 7.30 petang semalam di sebuah rumah di kawasan Persiaran Pantai Jerejak, Bayan Lepas.

Menurutnya, pemeriksaan awal di premis itu mendapati terdapat aktiviti pelaburan dan perjudian online menggunakan pautan ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’.

Jelasnya, hasil serbuan itu, polis melakukan serbuan kedua kira-kira pukul 10.35 malam di sebuah rumah di kawasan Jelutong yang mana seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun ditahan sebelum serbuan ketiga di sebuah pejabat di kawasan sama kira-kira sejam kemudian.

“Premis ini dipercayai dijadikan lokasi untuk untuk operasi mencipta iklan (graphic designing), pengedaran iklan (flashing dalam media sosial Facebook), penyediaan platform perjudian ‘bwc88nep.com’ dan ‘merc.adminbwc88ags.com’ ke negara seperti Nepal, Singapura dan Malaysia,” katanya kepada pemberita malam ini.

Tambahnya, pemeriksaan di permis tersebut turut menjumpai pelbagai peralatan antaranya satu set mesin disyaki digunakan untuk melombong mata wang kripto; komputer riba pelbagai jenama; CPU komputer pelbagai jenama; monitor komputer pelbagai jenama, telefon bimbit pelbagai jenama dan banyak lagi.

Dalam pada itu, katanya, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak September 2021 sehingga sekarang dan bertukar-tukar lokasi dalam tempoh sebulan hingga enam bulan bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 22 Julai depan.

“Kes disiasat antaranya di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan; Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan sebagainya,” katanya. – SB