Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut -

MB Kedah mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Bernama melaporkan Sanusi, 48, yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Beliau didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat Kuala Lumpur pada 11 malam, 11 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga dilarang membuat apa-apa komen sehingga kes selesai.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan sama berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

Kedua-dua mahkamah menetapkan masing-masing jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Muhammad Sanusi.

Mahkamah juga menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.