Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah -

Polis parah ditikam dengan pisau dalam operasi dadah

OLeh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG anggota polis cedera parah selepas ditikam seorang lelaki yang ditahan dalam operasi membenteras dadah di Jalan Ungku Puan di bandar raya ini pukul 2.30 pagi tadi.

Anggota polis berpangkat konstabel dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan luka dalaman di bahagian rusuk sebelah kiri akibat ditikam dengan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 3.20 pagi.

“Mangsa ditikam seorang lelaki semasa menjalankan tugas Ops Tapis Khas di sekitar Johor Bahru.

“Kejadian berlaku semasa pihak polis memeriksa tiga individu di kawasan tempat letak kereta berbayar di Jalan Ungku Puan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa operasi itu yang disertai seorang pegawai dan lima anggota polis termasuk mangsa sedang membuat pemeriksaan terhadap tiga individu yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Semasa pegawai dan anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap dua individu, suspek tiba-tiba cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam suspek. Suspek berjaya melarikan diri.

“Pihak polis tidak sempat merekodkan sebarang maklumat suspek. Polis kini giat memburu lelaki warga tempatan berpakaian baju lengan panjang hitam, berselipar, memakai ‘snowcap’ hitam dan memakai pelitup muka warna hitam,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

Tambahnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250. – SB