Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pemuda ditemukan maut dipercayai digilis kereta api -

Pemuda ditemukan maut dipercayai digilis kereta api

SEORANG pemuda ditemukan maut pada kira-kira 7.30 pagi tadi dipercayai digilis kereta api dalam kejadian di Kampung Tanjung di Pasir Mas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Kama Azrual Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa, Mohammad Aqil Ifran Hizuan, 23.

Sementara itu, bapa mangsa, Hizuan Jusoh, 52, berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan adik iparnya, Aiman Abdul Rashid, 20.

“Sebaik diberitahu, saya bergegas ke landasan kereta api untuk melihat keadaan anak saya. Luluh hati melihat keadaan anak saya yang sudah tidak bernyawa dengan kesan kecederaan yang teruk di kepala, tangan dan kaki,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung di Pasir Mas, Kelantan hari ini.

Beliau berkata kali terakhir berjumpa anaknya itu dua hari lepas kerana arwah tinggal bersama datuknya Jusoh Wok, 79, sejak berusia 15 tahun lagi.

Menurut Hizuan landasan itu sering menjadi pilihan penduduk untuk melintas dari Kampung Tanjung ke Kampung Tanjung Chenak, dan anaknya itu yang bekerja sendiri, dipercayai menggunakan landasan tersebut untuk melintas ke rumah bapa saudaranya.

“Rumah datuk arwah terletak kira-kira 400 meter dari landasan kereta api. Semalam saya dimaklumkan arwah berhasrat untuk ke rumah bapa saudaranya iaitu kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Jadi, kemungkinan kejadian itu berlaku ketika Mohammad Aqil hendak melintas landasan kereta api itu untuk ke rumah bapa saudaranya. Mungkin ia berlaku awal pagi tadi memandangkan keadaan mayatnya masih berembun,” katanya.

Hizuan berkata tiada kelakuan aneh atau pelik ditunjukkan anaknya itu, namun arwah sempat menghantar pesanan meminta maaf menerusi aplikasi WhatsApp kepada abangnya, Mohammad Zuhairi, 28, yang pulang ke Johor malam tadi.

“Mereka berdua sangat rapat, jadi mungkin arwah terkilan tidak sempat menemui abangnya itu sebelum pulang ke Johor selepas bercuti sempena Aidiladha,” katanya.

Menurutnya jenazah Mohammad Aqil dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Kampung Jelujok di sini. – Bernama