PRN: MCA MIC sahkan tak letak calon di enam negeri

Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bakal menyaksikan MCA dan MIC buat kali pertama dalam sejarah tidak akan meletakan calon mereka bertanding.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata keputusan untuk tidak meletak calon di enam negeri dibuat selepas parti itu mengadakan mesyuaratnya hari ini dan perbincangan secara mendalam dibuat mengambil kira senario politik semasa.

“Jawatankuasa Pusat MCA dalam mesyuaratnya hari ini telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Keputusan ini dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis, serta mengambil kira situasi politik semasa, di mana parti akan melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula. Dalam tempoh ini, MCA akan lebih menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU-16),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Sin Woon berkata MCA akan membantu calon parti komponen Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh berkempen PRN nanti.

“Dalam masa sama, MCA akan memainkan peranan sebagai parti komponen BN di mana kami akan membantu calon-calon parti komponen BN di dalam PRN 6 negeri ini kelak.

“Ditegaskan bahawa MCA berpegang teguh kepada falsafah penubuhan parti kami, iaitu mana-mana keputusan yang diambil parti haruslah selari dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesederhanaan, kebebasan dan demokrasi, di samping menjaga hak dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama kami,” ujarnya lagi.

Sementara itu MIC turut mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Setiausaha Agung MIC RT. Rajasekaran dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang berlangsung pada 30 Jun lepas setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

“Keputusan parti MIC untuk tidak bertanding pada PRN yang akan datang dibuat semata-mata untuk melindungi kepentingan parti MIC. Pada masa ini, MIC akan memberi lebih perhatian kepada proses untuk membina struktur parti yang lebih mantap bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak,” katanya.

Bagaimanapun, parti kaum India itu berjanji akan melaksanakan peranannya sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) dan keputusan parti telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Kerajaan Perpaduan.