Banduan dakwa didera warden, diarah berbogel ‘kopek durian’

0
148

SEKUMPULAN 125 banduan di sebuah penjara dekat utara Semenanjung yang mendakwa didera warden, menandatangani petisyen bagi menggesa kerajaan menyiasat dan mengambil tindakan.

Memetik laporan FMT hari ini, ini kali kedua petisyen seumpama itu dihantar berikutan timbul dakwaan penderaan di satu lagi fasiliti itu di negeri sama.

Banduan terbabit menulis draf petisyen itu lalu menyerahkan kepada peguam mereka, Husaini Abdul Rashid, menerusi dua rakan yang dibebaskan dari penjara baru-baru ini.

Tahun lalu, Husaini pernah membuat laporan berhubung dakwaan berlaku penderaan terhadap banduan tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara sampai ke hari ini belum memberi sebarang maklum balas.

Menurut dua banduan yang dibebaskan, mereka mendakwa didera dengan dipukul menggunakan paip polivinil klorida (PVC) dan objek tumpul kerana berbual serta kononnya ingkar ketika hadir sesi perhimpunan.

Banduan terbabit turut mendakwa pihak warden bertindak menyembunyi paip berkenaan sewaktu lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ke fasiliti itu.

“Jika mereka mendengar Suhakam atau orang lain mahu datang membuat pemeriksaan, mereka menyorok paip-paip itu,” dakwanya.

Selain dikenakan hukuman kerana berbual, mereka juga mendakwa tahanan reman sering kali dilayan dengan diperiksa di bahagian rongga badan apabila pulang dari mahkamah kerana disyaki cuba menyeludup dadah.

“Kami diarahkan baring secara berbogel di atas lantai untuk ‘kopek durian’ (mengepak punggung),” dakwanya sambil menjelaskan layanan buruk itu dialami mereka yang dalam tahanan reman.

Bekas banduan itu turut mendakwa bekalan air terhad dalam penjara menyebabkan mereka tidak dapat mandi selama lapan hari, termasuk sukar membersihkan diri selepas membuang air besar dan mengambil wuduk.

Mereka mendakwa makanan dihidangkan atas pinggan berkulat dan diberikan nasi basi dan sepotong kecil ikan kukus.

Jika ada tahanan yang mengadu, mereka mendakwa akan dihukum oleh warden penjara sama ada dipukul atau dikurung seorang diri.

Dakwaan lain adalah mereka dinafikan waktu rehat untuk bersenam atau membaca, selain tidak diberi rawatan sewajarnya jika sakit.

Ketika artikel ini disiarkan, FMT telah menghubungi pengarah penjara negeri terbabit termasuk Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad untuk mendapatkan maklum balas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here