PELAJAR lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi boleh menyemak keputusan pada 7 Julai ini.
Semakan boleh dilakukan bermula pada pukul 12 tengah hari 7 Julai sehingga 5 petang pada 16 Julai ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui kenyataan berkata, pada hari sama, para pelajar boleh menyemak keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti (KK) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma sesi akademik 2023/2024.
“Keputusan boleh disemak secara atas talian melalui pautan seperti https://jpt.utm.my , https://jpt.uum.edu.my,https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.
“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
KPT berkata, pengesahan setuju atau tolak tawaran pula akan bermula pada 8 sehingga 16 Julai di laman web institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan ILTA.
Jelasnya, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh tersebut.
“Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 7 Julai 2023, 12 tengah hari sehingga 16 Julai 2023, 5 petang.
“Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline,” katanya.
Tambahnya, tawaran tempat bagi sesi akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA atau ILKA tidak akan dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” katanya,” lapor Utusan Malaysia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.