Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri -

Lelaki kelar leher, tikam perut, tarik usus sendiri

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG lelaki mengelar leher, menikam perut dan menarik ususnya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Suria, Johor Bahru pada 10.53 malam Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, lelaki berusia 32 tahun yang melakukan perbuatan itu dipercayai mengalami masalah mental.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung video kejadian berdurasi 52 saat yang tular dalam media sosial pada pukul 9.02 pagi tadi.

“Siasatan mendapati lelaki warga tempatan itu cuba membunuh diri dengan menikam perutnya dan mengelar lehernya menggunakan pisau.

“Lelaki ini kemudian dirujuk ke doktor psikiatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Berdasarkan video yang tular itu, kelihatan lelaki berkenaan menarik keluar ususnya dalam keadaan lemah dan sudah terbaring di dalam sebatang parit di tepi jalan tersebut.

Mengulas lanjut, Raub berkata, hasil siasatan polis dan pemeriksaan doktor HSA yang merawat lelaki berkenaan mengesyaki kejadian berlaku kerana dia dalam keadaan tidak stabil.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah boleh terus menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan, 07-2182323.