Syed Saddiq persoal kerajaan perpaduan tiada lagi kuat kuasa isytihar harta selepas berkuasa

0
173

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta Kerajaan Perpaduan memberi penjelasan mengenai pengisytiharan harta yang didakwanya tidak lagi dikuat kuasa.

“Salah satu cara kita pastikan kita dapat tentang korupsi jika seseorang menduduki takhta kuasa diwajibkan untuk isytihar harta. Menerusi cara ini amat mudah badan penguat kuasa melakukan penilaian aset yang dimiliki sebelum menduduki kuasa dan selepas.

“Kalau ada pertambahan luar biasa dapat dijalankan siasatan. Adakah apa-apa yang ingin disembunyikan dan mengapa mereka yang menduduki kuasa tidak ingin mendedahkan nilai aset dan harta kepada rakyat,” soalnya.

Kata Syed saddiq lagi, tuntutan yang dilakukannya itu tidak berkait dengan cemburu sebaliknya beliau mempersoalkan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat konsisten memperjuangkan pengisytiharan harta.

“Sistem yang bermula pada 2018 secara terbuka tersebut perlu diteruskan demi memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan pentadbiran yang berintergriti dan telus. Kenapa dulu boleh? Apa yang hendak disembunyikan,” ujarnya pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, barisan Exco dan Menteri Besar dicadangkan supaya wajib mengisytiharkan harta dan rangkaian perniagaan yang dimiliki sekiranya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Syed Saddiq berkata, perkara ini penting untuk memastikan bahawa tidak ada pertindihan kepentingan yang menyebabkan kroni kapitalisme lebih teruk.

“Bagi PRN enam negeri ini, parti-parti bersama memberi komitmen jika mereka menduduki takhta kuasa, barisan Exco dan Menteri Besar diwajibkan isyithar segala aset dan rangkain perniagaan mereka miliki.

“Tetapi lebih merisaukan jika pengumpulan harta berkenaan berlaku apabila seseorang itu duduki kuasa. Keduanya ia juga desakan dan ‘wake up call’ yang jelas supaya perkara sama dilakukan secepat mungkin di peringkat Persekutuan.

“Perkara ini (isytihar harta) dilengah-lengahkan sehingga rakyat tanya soalan mengapa dahulu boleh dan sekarang seperti ingin sembunyikan,” katanya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here