Portal berita MalaysiaNow kini tidak boleh diakses oleh sesetengah pengguna dan berkemungkinan disekat oleh penyedia perkhidmatan internet (ISP) Malaysia.
Bagi pengguna yang terjejas, percubaan untuk mengakses laman web tidak akan menghasilkan sebarang respons. Pelayar web pengguna akhirnya akan berhenti menunggu dan sebaliknya memaparkan ralat “sambungan tamat masa.”
Menurut editor MalaysiaNow Abdar Rahman Koya, laman web itu tidak boleh diakses sekurang-kurangnya oleh pengguna Celcom dan Maxis sejak petang semalam.
Dia berkata pakar teknikalnya tidak menemui aktiviti luar biasa pada pelayan web atau berlaku serangan siber.
Sementara itu, kedua-dua ISP yang terjejas dilaporkan memberitahu portal berkenaan tiada perubahan dibuat pada pihak mereka yang boleh menghalang pengguna daripada mengakses laman web.
“Kami terus menerima pembaca dari luar Malaysia, namun jumlah biasa pembaca tempatan kami hampir separuh. Ini mungkin kerana pengguna Celcom dan Maxis tidak boleh mengakses laman kami.
“Kami dapati pengguna tidak mempunyai masalah untuk mencapai MalaysiaNow melalui perkhidmatan VPN, yang membolehkan akses kepada laman sesawang yang disekat.
“Ini bermakna, ada kemungkinan wujud satu cubaan di luar undang-undang bagi menyekat laman sesawang kami,” kata Abdar Rahman pada satu kenyataan hari ini yang memperincikan dakwaan sekatan itu, lapor MalaysiaKini.
Sementara itu, ujian Malaysiakini sendiri melalui rangkaian Maxis menggunakan alat ujian ketersambungan yang disediakan oleh Open Observatory of Network Interference (OONI) menunjukkan bahawa laman web itu disekat terhadap Maxis melalui gangguan DNS.
Ubahan DNS merupakan kaedah biasa yang digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian yang ‘tidak diingini’ termasuk pornografi, perjudian dalam talian dan laman web pelampau atau pengganas.
Kaedah sama juga telah digunakan untuk menyekat laman berita yang sah pada masa lalu, termasuk laman web keputusan pilihan raya Malaysiakini semasa pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Bagaimanapun, ketika itu pengguna internet dihalakan kepada notis kerajaan yang menyatakan bahawa laman web itu telah disekat oleh undang-undang, dan bukannya mengakibatkan dalam ralat “sambungan tamat masa”.
DNS (perkhidmatan nama domain) seumpama buku alamat internet; ia membantu untuk mengarahkan komputer dan peranti lain ke pelayan yang menjadi hos tapak web yang mereka cari.
Mengganggu DNS boleh mengakibatkan komputer tersalah hala ke tempat lain di internet. Ini boleh dielakkan dengan menukar tetapan DNS komputer atau penghalanya untuk menggunakan DNS lain yang tidak menyesatkan hala lalu lintas atau dengan menggunakan VPN.
Malaysiakini telah menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil untuk mendapatkan maklum balas dan sedang menunggu jawapan.
Sementara itu, Abdar Rahman juga mendakwa seorang pembantu menteri memberitahu portal itu bahawa MalaysiaNow tidak disekat, tetapi mereka menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang diberi kuasa untuk menyekat kandungan dalam talian yang tidak diingini.
“Jawapan yang diberikan ini langsung tidak membantu,” kata Abdar Rahman memaklumkan MalaysiaNow akan membuat laporan terhadap pihak berkuasa berkaitan.
Dalam maklum balas segera, kumpulan media Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata pihaknya bimbang dengan laporan akses yang disekat ke laman web MalaysiaNow.
“Sebarang langkah sedemikian jika terbukti benar akan menjadi satu bentuk penapisan tidak langsung kerajaan ke atas saluran berita dan melanggar kebebasan akhbar secara terang-terangan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.