Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bekas naib presiden MIC, C Sivaraj keluar parti -

Bekas naib presiden MIC, C Sivaraj keluar parti

BEKAS naib presiden MIC, Datuk C Sivaraj, mengisytiharkan keluar parti serta-merta.

Sivaraj berkata beliau keluar parti kerana ingin melaksanakan tanggungjawab dan tugasan sebagai Ahli Dewan Negara dan pemimpin masyarakat India “tanpa sebarang halangan atau sekatan dari mana-mana pihak, terutamanya dari kepimpinan MIC”.

Menurut suratnya kepada Presiden SA Vigneswaran, beberapa peristiwa yang berlaku ketika berkhidmat bawah kepimpinan beliau mengakibatkan dia mengambil keputusan untuk melepaskan keahlian.

Menurut laporan FMT, Sivaraj mengesahkan kesahihan surat itu.

Sivaraj yang telah 20 tahun berkhidmat dalam MIC pernah menjawat jawatan setiausaha Pemuda dan ketua Pemuda.

Beliau dalam suratnya mendakwa dia dilihat sebagai ancaman kepada kepimpinan parti serta disekat daripada meneruskan khidmat kepada masyarakat dengan pelbagai cara.

“Jika perkara ini terus berpanjangan, saya lihat kemungkinan kelak nanti mendorong perpecahan dalam kalangan parti.

“Saya tidak hendak menjadi punca parti ini terus berpecah belah akibat perbezaan pandangan dan pendekatan,” katanya.

Terdahulu, Sivaraj dipecat sebagai ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC berkuatkuasa 11 Mei lalu. Surat pemecatan bertarikh 10 Jun 2023 itu ditandatangani Vigneswaran.

Dalam surat berkenaan, Vigneswaran mengucapkan penghargaan kepada Sivaraj atas sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan itu.

Tempoh perkhidmatan Sivaraj sebagai ahli CWC sepatutnya berakhirnya pada 2024. Beliau dilantik ke jawatan itu pada pemilihan parti pada 2021.

Pada PRU15, Sivaraj memberi laluan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Sofee Razak di Parlimen Padang Serai, selepas Barisan Nasional dan Pakatan Harapan membentuk kerajaan perpaduan.