Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kon Yeow jumpa Yang Dipertua Negeri esok dapat persetujuan bubar DUN Pulau Pinang -

Kon Yeow jumpa Yang Dipertua Negeri esok dapat persetujuan bubar DUN Pulau Pinang

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pukul 8 pagi esok bagi mendapatkan persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Ia sekali gus bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Pulau Pinang tidak membubarkan DUN serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November tahun lalu.

”Semasa pertemuan pagi esok, saya akan memaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang dan mendapatkan persetujuan beliau.

“Selepas itu, saya akan mengadakan sidang media pada 2.30 petang untuk mengumumkan pembubaran itu, sidang media ini juga akan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dijemput,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Selain Pulau Pinang, negeri lain yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata, segala isu mengenai pembahagian kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) negeri itu akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden.

”Tiada lagi rundingan dan segala keputusan eloklah diumumkan serta dimuktamadkan oleh Majlis Presiden,” katanya.

Ditanya sasaran kerusi untuk dimenangi gabungan PH-BN dalam PRN, Kon Yeow berkata, kemenangan 30 hingga 32 kerusi DUN adalah satu pencapaian yang memuaskan.

”Pada pilihan raya negeri 2008, PH memenangi 29 kerusi, manakala pada 2013, kita memenangi 30 kerusi.

”Jadi, kalau boleh capai 30 hingga 32 kerusi (DUN) pada PRN ini ia boleh dianggap satu keputusan memuaskan,” katanya. – SB