Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Cikgu didakwa curi ikan salmon, lampin di pasar raya -

Cikgu didakwa curi ikan salmon, lampin di pasar raya

SEORANG guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini atas dakwaan mencuri barangan bernilai RM243.47 termasuk lampin pakai buang di sebuah pasar raya, April lalu.

Cheong Khang Wen, 38, yang dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret S Punitha.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri dua unit lampin pakai buang, sepaket filet ikan salmon seberat 0.512 kilogram (kg), sepaket filet salmon seberat 0.432kg, sepaket kerapu (0.54kg) dan sepaket ikan merah (0.648kg) dari pasar raya terbabit yang semuanya bernilai RM243.47.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pasaraya AEON Mall Klebang, Chemor, Ipoh, kira-kira jam 7.25 malam, 17 April lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Hosna Mohamad Zikri manakala tertuduh diwakili peguam Elaine Foong.

Fatin Hosna menawarkan jaminan RM6,000 ke atas tertuduh namun Elaine meminta jumlah dikurangkan kepada RM3,000 dengan mengambil kira tertuduh yang menyara tiga anak kecil berusia tiga hingga tujuh tahun, selain menjaga bapa yang menghidap strok.

Elaine turut meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang menghidap kerisauan melampau dan memerlukan bekalan ubat, di samping penyakit lain termasuk darah tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula kes.