Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia -

Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa laporan psikiatri penyanyi dan komposer lagu, Yasin Sulaiman masih belum tersedia.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin pada sebutan laporan psikiatri di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad, pagi ini.

“Saya dimaklumkan bahawa laporan psikiatri masih belum sedia.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi laporan psikiatri tersebut,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu tidak dapat menghadiri ke mahkamah pada hari ini ekoran masih berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemerhatian kesihatan mentalnya.

Sementara itu, peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pihak pendakwaan bagi tarikh sebutan baharu.

“Kami percaya mengikut undang-undang, pihak hospital mempunyai masa sehingga dua bulan untuk menyiapkan laporan psikiatri tertuduh,” ujar peguam itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan bagi sebutan semula kes itu dan laporan psikiatri oleh pihak hospital.

Pada prosiding sebelum ini mahkamah sama memerintahkan Yasin agar dirujuk ke hospital bahagia berkenaan untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

Nik Nasimah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami yang mewakili Yasin mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Ariff Azami membuat permohonan itu apabila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, diperiksa oleh pakar psikiatri.

Katanya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

“Laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa,” katanya pada prosiding itu, lapor Utusan TV.

Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di kondominium di Persiaran Surian Damansara, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 5.30 petang, 24 Mac 2022.