Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Sanusi: Kedah tidak perbaharui lesen premis urut, refleksologi jika langgar syarat -

Sanusi: Kedah tidak perbaharui lesen premis urut, refleksologi jika langgar syarat

KERAJAAN negeri Kedah tidak akan memperbaharui lesen pusat urut dan refleksologi di negeri ini jika didapati wujud aktiviti tidak bermoral di premis berkenaan, demikian amaran tegas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurutnya, mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini telah membuat keputusan berhubung perkara itu dan pemantauan secara berkala akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan imigresen ke atas premis berkenaan,

Selain itu, katanya, sebarang aktiviti hiburan di negeri ini termasuk di dalam institusi pengajian tinggi (IPT) masih tertakluk mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan perlu mendapat permit daripada PBT.

“Jadi yang ‘tunjuk-tunjuk langit’ semua itu, nak buat macam itu, kena minta permit daripada Pegawai Daerah, kalau kita agak program itu tidak sesuai, ia tidak akan diluluskan walaupun dalam universiti,“ katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat minggua exco di sini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, berkata beliau telah meminta Penasihat Undang-Undang Negeri supaya menggariskan perkara yang boleh dilakukan oleh anggota exco negeri selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Sebagai kerajaan negeri sementara (selepas DUN dibubarkan), semua exco kena serahkan kenderaan rasmi masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi mengumumkan akan menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, Ahad ini, bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN negeri bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau akan mempersembahkan cadangan pembubaran DUN negeri pada 28 Jun ini sempena hari wukuf di Arafah.