PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan menggunakan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) untuk meraih sokongan pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.
Sebaliknya, gabungan parti BERSATU, PAS dan GERAKAN itu akan menumpukan kepada isu yang membelenggu rakyat, terutama ekonomi dan kos sara hidup.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu 3R sudah disentuh banyak kali sebelum ini dan ketika ini, tumpuan perlu diberikan untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat, malah PN sudah pun memulakannya.
“Agenda kita jelas. Ia bukan mengenai isu kaum dan agama, kita melayan semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.
“Ia mengenai apa yang penting kepada rakyat, terutama ketika ini apabila rakyat berasakan Kerajaan Perpaduan tidak melakukan banyak (untuk membantu) dan sesetengahnya mengatakan mereka (kerajaan) gagal melaksanakan janji dalam manifesto mereka.
“Kita fokus kepada apa yang membimbangkan rakyat ketika ini, seperti bagaimana kita menyelesaikan isu inflasi, kos sara hidup, kenaikan harga barang dan perkhidmatan serta membantu perniagaan,” katanya lapor BH.
Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PN di ibu pejabat parti di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
Sebelum ini, timbul kritikan segelintir pihak menjangka PN akan menjadikan isu 3R sebagai agenda utama pada PRN kelak, terutama di kawasan majoriti Melayu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.