Aktiviti penyelewengan diesel tumpas, stesen minyak dipercayai bersekongkol

0
145

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Selangor menumpaskan satu sindiket menyeleweng minyak diesel membabitkan sebuah stesen minyak di Seksyen 22, dekat Shah Alam, kelmarin.

Sindiket tersebut dipercayai menjadikan kegiatan tersebut sebagai aktiviti harian sejak enam bulan lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Negeri Selangor, Mohd. Khairi Jamaludin berkata, satu operasi hendap secara strategik telah dilakukan bersama petugas khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas sindiket tersebut.

Beliau berkata, serbuan di stesen minyak tersebut membolehkan KPDN Negeri Selangor menyita minyak diesel berjumlah 13,802 liter yang dipercayai telah diisi ke dalam tiga buah lori diubah suai.

Sebuah lori yang telah diubah suai yang berjaya dirampas pihak KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

“Intipan yang dilakukan beberapa jam sebelum serbuan menyaksikan lori-lori tersebut telah mengisi minyak ke dalam tangki biasa, sebelum disedut menggunakan pam khas ke tangki yang telah diubah suai atau tangki tambahan.

“Modus operandi suspek sindiket ini adalah mengisi minyak menggunakan nozel pengisi secara serentak serta membuat dua transaksi pembayaran dalam satu-satu masa.

“Bukan sekali sekala kumpulan sindiket ini membuat penyelewengan tetapi ia dilakukan pada setiap hari antara pukul 9 malam hingga 1 pagi, malah suspek dipercayai membuat pengisian secara berulang antara enam hingga 10 kali satu hari untuk dihantar ke stor penyimpanan.

“Kita percaya, ia bukan sahaja dijual kepada pihak industri malah diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mohd. Khairi berkata, kesemua lori yang disita tidak mempunyai dokumen atau permit untuk urusan membeli barangan kawalan daripada KPDN.

Sebuah lori yang telah diubah suai yang berjaya dirampas pihak KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, dalam serbuan tersebut, sebuah treler yang mempunyai tangki tambahan berkapasiti 20,000 liter telah digunakan untuk mengisi minyak sebanyak 8,352 liter, sementara dua lori lagi berjaya mengisi lebih daripada 5,000 liter.

Menurutnya, nilai minyak diesel dan lori yang disita dianggarkan berjumlah RM250,000.

Sebuah lori yang telah diubah suai yang berjaya dirampas pihak KPDN Selangor selepas disyaki terlibat dalam urus niaga melibatkan barangan kawalan bahan api diesel bersubsidi ketika mengadakan operasi di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain itu pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM20,000 yang dipercayai hasil jual beli minyak diesel bersubsidi tersebut.

“Selain tiga lori dan empat suspek warga tempatan dipercayai sebagai pemandu lori, seorang warga asing merupakan pekerja stesen minyak telah direman sehingga Jumaat ini,” katanya, lapor Sinar Harian.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Selangor, Mohd Khairi Jamaludin mengadakan sidang media di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Ditanya sama ada pihak pengurusan stesen minyak terlibat dengan aktiviti penyelewengan tersebut, beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan keterangan percakapan telah diambil.

Jelasnya, siasatan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menjual diesel kepada kenderaan melebihi 250 liter, seperti yang ditetapkan oleh Pengawal Bekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here