Lelaki ragut wanita warga asing ditahan polis

0
150

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

SEORANG lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan reman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut dan samun seorang wanita warga asing di Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menghampiri dan meragut beg mangsa kira-kira pukul 11.30 malam itu.

Bagaimanapun, ujar beliau, suspek gagal melarikan diri dan ditangkap oleh orang awam di sekitar tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Jelasnya, hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Timur Laut.

“Suspek berasal dari Pulau Pinang, dan mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja (THC), methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun ragut yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun berserta denda atau sebatan.

“Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi motosikal yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here