Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan negeri serah 12 rumah kepada mangsa ‘Tragedi Iboi’ -

Kerajaan negeri serah 12 rumah kepada mangsa ‘Tragedi Iboi’

Oleh BADLISHAH MAT

KERAJAAN negeri Kedah berjaya mengambil masa kurang setahun untuk menyiapkan 12 buah rumah kepada mangsa banjir aliran puing yang terlibat tragedi itu di Kampung Iboi, Baling pada 4 Julai tahun lalu.

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor bukan sahaja menyerahkan kunci kediaman itu kepada keluarga yang hilang rumah mereka, tetapi turut memberikan geran tanah yang sekali gus mengubati perasaan duka mangsa terutama yang kehilangan ahli keluarga.

“Rumah ini bukan sahaja dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik tetapi turut disediakan infrastruktur yang baik seperti jalan mini tar dan sistem perparitan.

“Walaupun terdapat sedikit kelewatan, namun alasannya adalah kerana perlu memasukkan infrastruktur serta kemudahan asas untuk penghuninya.

“Langkah itu agar mereka lebih selesa dan gembira setelah menduduki rumah baharu bagi mengantikan rumah lama yang hilang dalam tragedi itu,” katanya pada Majlis Penyerahan Geran dan Kunci Rumah Kepada Mangsa Banjir Aliran Puing di Kampung Sadek, Kupang.

Kejadian aliran puing dan banjir lumpur terbabit yang turut meragut nyawa tiga sekeluarga dianggarkan menyebabkan kerugian berjumlah RM28 juta.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, rumah baharu yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berkeluasan 750 kaki persegi itu berharga RM75,000 seunit.

Namun katanya, jumlah sebenar perbelanjaan adalah kira-kira RM178,000 seunit termasuk penyediaan infrastruktur dan utiliti di sekelilingnya.

“Kos keseluruhan pembinaan dan pembangunan rumah ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Sementara proses pemindahan fasa kedua bagi 17 buah lagi rumah yang berada dalam zon bahaya akan dilaksanakan tidak lama lagi setelah proses pengambilan tanah di Kampung Bok Bak yang diuruskan kerajaan negeri telah selesai,” katanya.

Projek pembangunan 17 buah rumah melalui peruntukan RM3 juta oleh Kerajaan Persekutuan itu diluluskan pada 1 September lalu oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – SB