Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang Fasa 2 dibuka tengah malam ini, tol percuma dua minggu

LEBUH Raya Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) Fasa 2 secara rasmi dibuka kepada orang awam bermula tengah malam ini.

Sempena pembukaannya, tol di laluan yang menghubungkan Sri Petaling dan Bukit Jalil di Lebuh Raya Shah Alam dengan Persimpangan Cheras-Kajang itu percuma selama dua minggu, mulai tengah malam ini hingga 11.59 malam pada 29 Jun.

Suke Fasa 2 dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi di Plaza Tol SUKE Alam Damai hari ini, dan dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaannya.

“Fasa 2 dijangka menyediakan rangkaian yang lebih baik dan penyuraian trafik yang berkesan,” katanya, lapor FMT.

“Dua persimpangan baharu yang akan dibuka itu dijangka dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi pengguna, terutama penduduk di kawasan sekitar, dan khususnya pengguna yang kerap melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Prolintas Ikmal Hijaz Hashim berkata, Suke Fasa 2 menampilkan satu lagi pencapaian penting dalam usaha menjadi pengendali lebuh raya pilihan di Lembah Klang.

“Pembukaannya amat ditunggu-tunggu oleh ramai pengguna lebuh raya di Lembah Klang kerana ia menawarkan laluan alternatif dan mewujudkan kesalinghubungan yang lancar bagi memudahkan perjalanan pengguna lebuh raya,” katanya.

Lebuh raya ini sepanjang 24.4km, dengan dua laluan tiga lorong dari Sri Petaling ke Ulu Kelang. Ia mempunyai 14 persimpangan dan menjangkaui lebih 60 kawasan perumahan, serta berhubung dengan lebuh raya dan jalan utama di Kuala Lumpur.

Empat belas persimbangan itu menghubungkan Suke dengan Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Hulu Kelang, Taman Hillview, dan Bukit Antarabangsa.

Ia juga berhubung dengan lapan lebuh raya iaitu MRR2, Kesas, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), serta Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang sedang dalam pembinaan.

Ia dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang melalui MRR2 dan mengurangkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang daripada 75 minit kepada 25 minit.

Secara keseluruhannya, Suke mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 99.54% setakat 4 Jun.