Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah -

Suami alami tekanan perasaan tak hirau isteri meninggal dalam rumah

Oleh RIZQI ZABIDI

SEAKAN tiada apa yang berlaku, seorang lelaki dipercayai mengalami tekanan perasaan, selamba duduk di meja depan rumahnya sambil menemani anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) autisme berusia 9 tahun menjamah nasi, ketika jasad isterinya terkulai di dalam bilik.

Menurut Ruhaina Radzali, 41, dia hadir ke rumah pasangan tersebut di Pekan Ayer Hitam dekat Jerlun, Kedah kira-kira pukul 12.15 tengah hari bagi menghantar nasi ayam dimasaknya sebagai bekalan makanan tengah hari keluarga itu.

Katanya, isteri lelaki tersebut yang juga OKU lembam, Nur Syahani Safarina Ibrahim, 42, merupakan birasnya dan dia memang selalu menghantar makanan kepada keluarga tersebut.

“Sebaik tiba di rumah mereka, saya bertanyakan lelaki itu di mana isterinya. Dengan selamba lelaki itu mendakwa isterinya tiada kerana sudah mati.

“Saya terkejut mendengarnya dan bertanyakan sekali lagi mengenai perkara itu. Lelaki tersebut lalu menyuruh saya masuk ke rumah untuk melihat keadaan isterinya sendiri jika tidak percaya,” katanya.

Berikutan itu katanya, dia masuk ke dalam rumah tersebut dan ternampak wanita berkenaan terkulai di tepi katil dengan kepalanya terlentok atas tilam.

“Saya memanggilnya beberapa kali namun tiada maklum balas. Apabila saya memegangnya, badannya sudah sejuk.

“Ekoran itu, saya berlari ke rumah jiran sebelum memaklumkan kejadian itu kepada petugas klinik kesihatan berhampiran. Petugas yang hadir bersama ambulans kemudiannya mengesahkan Nur Syahani sudah meninggal dunia,” katanya.

Ruhaina menambah, suami Nur Syahani asalnya seorang yang sihat dan mula bercakap sendirian dan kerap menjerit siang malam sejak berhenti kerja dari sebuah pasar Raya kira-kira setahun lalu.

“Memang dia sering bercakap seorang diri dan sukar difahami tetapi tak pernah pula dia dilihat memarahi isterinya,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Pemeriksaan dijalankan termasuk oleh Unit Forensik mendapati tiada unsur-unsur jenayah, pergelutan mahu pun darah di lokasi kejadian.
Selain itu keluarga wanita berkenaan memaklumkan mangsa ada mengadu terasa penat semalam dan dia dikatakan memang menghidap penyakit semput selain kencing manis.

“Suami wanita itu turut dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Jasad wanita berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya. – SB