Padah Phone Scam, pesara guru rugi lebih RM730,000

SEORANG pesara guru kerugian lebih RM730,000 selepas menjadi mangsa penipuan penyamaran melalui panggilan telefon (phone scam).

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata wanita berusia 63 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai Inspektor Khoo dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendakwa mangsa terlibat kes penggubahan wang haram.

Katanya, suspek juga memberitahu bahawa Bank Negara mahu memeriksa wang simpanan mangsa dan pesara itu perlu membuka akaun bank baharu atas nama mangsa dan memindahkan wang ke akaun tersebut bagi tujuan siasatan.

“Ekoran itu, pada 12 Mei lalu, mangsa membuka dua akaun bank yang berbeza di institusi kewangan di bandar raya ini.

“Mangsa yang panik memindahkan wang berjumlah RM369,525 dan RM369,525 dari simpanan banknya serta suaminya ke dalam dua akaun bank berkenaan.

“Mangsa juga telah diarahkan oleh Inspektor Khoo untuk memberikan semua maklumat perbankan akaun bank baharu itu kepada suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat beberapa transaksi pemindahan wang keluar yang berjumlah RM739,050 dari kedua-dua akaun bank baharunya ke akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali.

Susulan itu, katanya mangsa tampil membuat laporan polis pada 6 Mei lalu, lapor BH Online.