Pelajar cemerlang dapat 10 tawaran sambung belajar

PELAJAR cemerlang yang mendapat 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, mengakui menerima lebih 10 tawaran untuk menyambung pengajian serta biasiswa setakat ini.

Muhammad Syahril berkata dia tidak pernah menyangka akan menerima begitu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang ingin membantunya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Setakat ini, saya sudah menerima lebih daripada 10 tawaran untuk menyambung pengajian serta biasiswa termasuk daripada pihak Petronas, Majlis Amanah Rakyat (MARA), kerajaan negeri serta beberapa universiti awam.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tidak menyangka akan menerima tawaran yang tidak putus-putus sehingga sukar untuk memilih,“ katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kandis di sini, hari ini.

Menurutnya dia akan mengambil keputusan untuk berbincang bersama ahli keluarga bagi membuat pilihan untuk menyambung pengajiannya.

Muhammad Syahril berkata dia berhasrat untuk untuk menyambung pengajian ke luar negara dalam bidang bahasa.

“Sebelum ini, saya ingin meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok untuk mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kerana ingin menjaga ibu yang sakit, bagaimanapun mungkin keputusan akan berubah.

“Setakat ini saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah kerana minat terhadap bidang pendidikan,“ katanya.

Katanya dia perlu melakukan solat sunat istikharah dan berharap dapat membuat pilihan terbaik yang turut mendapat tawaran daripada pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

BERNAMA