Khairy nafi terbabit skim pelaburan saham

BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan pembabitan dalam mana-mana skim pelaburan saham.

Katanya, beliau tidak pernah berurusan dengan mana-mana pihak berkaitan pelaburan saham.

“Pihak saya tidak pernah berhubung atau berurusan dengan sebarang syarikat pelaburan saham,” katanya menerusi Facebook, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gambarnya yang digunakan dalam sebuah iklan pelaburan saham yang tular di media sosial.

Menurut Khairy, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dibuat berhubung iklan palsu berkenaan.

Menjengah ruangan komen, pengguna Facebook, Faizal Rais, mengucapkan tahniah tindakan pantas Khairy menafikan pembabitannya sekali gus menghalang penipu atau scammer menggunakan gambar figura awam.

“Tahniah KJ (Khairy) sebab cepat memberikan maklum balas supaya scammers tidak sewenang-wenangnya menggunakan public figure untuk mempengaruhi orang ramai dalam helah mereka,” katanya lapor BH.

Seorang lagi pengguna yang hanya menggunakan nama Sam, menyifatkan ia adalah taktik kumpulan skim cepat kaya yang berani menggunakan nama KJ.

Jamal Mut pula berpendapat, dalam beberapa minggu ini, berjuntai-juntai iklan pelaburan saham ini.

“Ramai muka individu popular diselitkan dalam iklan mereka. Mereka guna akaun keldai untuk kutip wang orang ramai,” tulisnya di ruangan komen.