KERAJAAN Kelantan akan membantu perihal kebajikan termasuk mempertimbangkan bantuan rumah kepada pelajar cemerlang yatim piatu yang meraih 11A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Kampung Kandis di Bachok.
Ahli Parlimen Bachok, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, pihaknya sudah mendapatkan maklumat berkaitan keadaan pelajar itu, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang kini tinggal di rumah sewa sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, kerajaan negeri akan usahakan bagi meringankan beban keluarga tersebut.
“Penyaluran bantuan juga dalam segala bentuk kebajikan kepada keluarga termasuk paling penting pendidikan kepada salah seorang kakak Muhammad Syahril yang sebelum ini terpaksa menangguh pengajian kerana turut menjaga ibu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, di rumahnya hari ini.
Mohd. Syahir yang turut berkongsi kesedihan atas kematian ibu pelajar tersebut, berkata, pemergian arwah amat menyentuh hati dan wajar dijadikan pengajaran kepada semua.
“Kisah mereka adik-beradik ini ialah anak-anak yang berbakti kepada ibunya.
“Diceritakan oleh guru-guru tidak menyangka Muhammad Syahril dapat meraih 11A. Boleh jadi asbab kepatuhan dan keberkatan menjaga seorang ibu,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.
Tuan Faridah yang menderita angin ahmar sejak tahun 2019 menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 8.30 malam, Sabtu.
Duka kematian itu hanya selang dua hari selepas keluarga tersebut menerima perkhabaran gembira keputusan peperiksaan anak bongsu daripada enam beradik yang bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.