Oleh WARTAWAN SATU BERITA
PERIKATAN Nasional (PN) Pulau Pinang kini sudah 95 peratus selesai dalam soal rundingan kerusi antara parti-parti komponen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, ketika ini hanya terdapat beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih dalam rundingan disebabkan wujud pertindihan antara beberapa parti komponen.
Bagaimanapun menurut Tong Keong yang juga Pengeru Gerakan Pulau Pinang, rundingan mengenai pertindihan kerusi itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Terdapat beberapa kerusi yang berlaku pertindihan kerana ada permintaan daripada rakan-rakan parti komponen PN.
“Ada kerusi yang Pas minta, ada yang Bersatu minta, namun kita jangka perkara ini dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon bagi pemilihan Parti Gerakan Pulau Pinang di ibu pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, di George Town hari ini.
Dalam pemilihan berkenaan, Tong Keong diumumkan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, parti itu akan bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN negeri itu kelak yang mana 70 peratus calon yang dipilih merupakan muka baharu daripada pelbagai peringkat umur, profesion dan kaum.
“Kita kita akan tampilkan calon-calon muka baharu, mereka adalah calon ‘fresh’ yang mana tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, calon-calon Gerakan itu juga akan menjalani sesi temuduga bersama Jawatankuasa Pusat Gerakan minggu depan dalam memastikan hanya calon yang terbaik dan mampu menang dipilih.
Jelas beliau, calon-calon PN termasuk dari Gerakan juga bakal berdepan dengan kekangan dana pada PRN kali ini memandangkan berlaku pembekuan akaun parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Disebabkan itu, calon-calon yang akan bertanding perlu bersedia menerima pelbagai cabaran dalam PRN kali ini,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.